comscore
Tumpuan :
Jenayah

15 orang bertaruh ketika siaran langsung laga ayam ditahan

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: 15 individu termasuk warga emas yang sedang melakukan pertaruhan judi laga ayam menerusi siaran langsung televisyen ‘Thai Game Cock’ ditahan dalam serbuan di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok petang semalam.

Mereka yang berusia antara 25 hingga 74 tahun ditahan menerusi Op Limau pada jam 3.30 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya terlebih dahulu melakukan intipan selama 15 minit sebelum serbuan dilakukan di sebuah kedai makan.

“Ketika serbuan dilakukan, mereka sedang berkumpul dipercayai menonton siaran langsung laga ayam yang berlangsung di Thailand dan sedang membuat pertaruhan judi.

“Hasil pemeriksaan dalam premis berkenaan menemui sebuah televisyen, satu unit decoder dan sebuah buku yang didalamnya terdapat rekod pertaruhan laga ayam berjumlah RM628.

“Semua 15 individu termasuk pemilik kedai berusia 74 tahun selaku penganjur ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati individu berkenaan melakukan pertaruhan serendah RM2 sehingga RM20.

“Modus operandi mereka adalah berkumpul di premis berkenaan dan melakukan pertaruhan dengan melihat siaran langsung Thailand iaitu Thai Game Cock.

Semua mereka direman bermula hari ini sehingga Sabtu, mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini