comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 kilang kitar semula beroperasi tanpa lesen diarah tutup

Pihak berkuasa mengadakan operasi bersepadu ke atas kilang kitar semula. FOTO: Ihsan MPKS

KUALA SELANGOR: Dua kilang kitar semula e-waste di daerah ini diarah tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) susulan melakukan kacau ganggu bau dan alam sekitar, semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, pihaknya menjalankan operasi bersepadu bermula 10.30 pagi hingga 2.30 petang dengan kekuatan 60 anggota.

Beliau berkata, ia turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor.

“Operasi ini hasil maklumat orang awam, risikan Jabatan Penguatkuasa MPKS dan JAS.

“Semasa pemeriksaan, didapati premis disyaki menyimpan dan memproses buangan terjadual seperti metal dross, buangan bateri kering, Plastic Circuit Board (PCB) serta buangan ‘copper scrap’,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mohamad Lutfi berkata, kedua-dua kilang dikenakan kompaun ekoran kesalahan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang.

“Kes disiasat mengikut UUK 3 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari pihak berkuasa.

“Pada masa sama, JAS mengambil sampel barang-barang e-waste untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bag proses analisis,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Lutfi memaklumkan JIM melakukan tiga tangkapan ke atas warga China berusia 25 hingga 35 tahun untuk semakan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini