AMPANG JAYA: Polis menahan dua lelaki warga Myanmar, Isnin lalu, selepas didapati terbabit kes pecah rumah milik penuntut universiti awam di Taman Bukit Indah di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, penuntut lelaki berusia 22 tahun itu mendakwa meninggalkan kediamannya dalam keadaan baik pada 17 Ogos lalu, kira-kira 8 malam.
Menurutnya, sebaik mangsa pulang semula 2.10 pagi keesokannya, mangsa mendapati rumahnya berselerak dan barangan peribadi iaitu jam tangan, telefon bimbit, kamera, laptop, barangan kemas dan wang tunai hilang dengan anggaran kerugian RM10,000.
“Susulan itu, bertindak atas maklumat pada 4.20 petang Isnin lalu, polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 31 dan 21 tahun di tepi jalan Taman Perindustrian Pandan Indah serta seorang lagi di tepi jalan Wawasan.
“Kedua-dua suspek tidak bekerja dan semakan dapati tangkapan pertama tiada rekod jenayah, manakala tangkapan kedua mempunyai dua rekod kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, ujian air kencing yang dijalankan dapati seorang daripada suspek positif dadah.
“Suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.