KOTA KINABALU: Dua pegawai kanan yang bertugas di sebuah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, semalam.
Kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an ditahan kerana disyaki menerima rasuah membabitkan pelantikan pembekal bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di sekitar Kudat, bernilai RM600,000.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan jam 3 petang, ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Susulan penahanan itu, semua suspek dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi dan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 Oktober 2024 terhadap suspek dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Dzul Elmy Yunus.
“Suspek dipercayai menerima sejumlah rasuah pada tahun 2023 hingga 2024 melalui kemasukan wang ke akaun bank proksinya.
“Suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk berpakat melantik beberapa pembekal dalam urusan perolehan secara pembelian terus dan sebut harga bagi pembekalan bahan mentah penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di daerah berkenaan,” katanya.
Tangkapan ini susulan penahanan seorang pemilik perniagaan semalam kerana disyaki mengemukakan dua tuntutan palsu bernilai kira-kira RM45,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, mendedahkan isu kartel penyelewengan dana sekolah membabitkan Pejabat Pendidikan Daerah Kudat sewaktu ucapan perbahasan dasar Belanjawan 2025 di Parlimen dan menggesa SPRM menjalankan siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.