Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] 2 pemandu tidak beri laluan kepada ambulans sedang dikesan polis

Polis sedang mengesan dua pemandu kenderaan yang didapati tidak memberi laluan kepada ambulans yang dalam kecemasan, di KM25 Jalan Johor Bahru – Air Hitam arah ke Johor. – FOTO: Tangkap layar video TikTok Ihsan RANDOM Support.

KULAI: Polis sedang mengesan dua pemandu kenderaan yang didapati tidak memberi laluan kepada ambulans yang dalam kecemasan, di KM25 Jalan Johor Bahru – Air Hitam arah ke Johor Bahru, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, AC Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 26 saat pada jam 2.30 petang semalam yang mana dalam video itu memaparkan dua kenderaan dipercayai dipandu lelaki warga tempatan tidak memberi laluan kepada ambulans.

“Ambulans itu dalam kecemasan membawa pesakit ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kulai mengambil tindakan mengesan pemandu kenderaan terbabit dan siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Kaedah 9 LN166/59 iaitu kesalahan tidak beri laluan kepada ambulans,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.

Terdahulu, tular di TikTok video yang memaparkan dua kenderaan dipercayai Proton Exora dan Honda City yang dilihat tidak memberi laluan kepada ambulans dan seolah-olah mengambil kesempatan dengan membuka ‘hazard light’ serta bergerak di ruang yang sepatutnya dilalui ambulans itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini