comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 penjenayah ditahan polis, lakukan samun di ruang mesin ATM

Ahmad Sukarno menunjukkan pisau yang digunakan penjenayah untuk merompak di ruang mesin ATM. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang bergiat aktif dalam kegiatan samun berkumpulan di ruangan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar ibu negara dan Perak.

Kedua-dua suspek berusia 38 tahun ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Perak dan Pahang pada Selasa dan Ahad, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan diterima pihaknya jam 12.09 tengah malam pada 28 Disember lalu daripada lelaki berusia 30 tahun berkaitan kejadian samun di ruang mesin ATM di sebuah bank di Kepong.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 8 malam, 27 Disember lalu apabila pengadu yang bertugas di dalam kawasan ruang mesin ATM menegur suspek yang memakai topi keledar ketika memasuki bank.

“Suspek tiba-tiba bertindak mengacukan sebilah pisau pemotong ke arah pengadu sehingga berlaku pergelutan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dengan hulu pisau.

“Suspek kemudian mengarahkan pengadu untuk berdiam diri dan bertindak merompak tiga lagi lelaki tempatan yang berada di ruang mesin ATM ketika itu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal bersama seorang lagi rakannya yang berada di luar premis bank.

Katanya, akibat kejadian, pengadu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Susulan itu, polis menahan kedua-dua suspek di kediaman mereka di Perak dan Pahang.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas empat telefon pintar pelbagai jenama, dua pakaian yang dipakai ketika kejadian, dua topi keledar, sebuah motosikal serta sebilah pisau,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan samun berkumpulan.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis berjaya menyelesaikan sebanyak enam kes di Kuala Lumpur dan 28 kes di Perak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Loading...
Terkini