MUAR: Tujuh suspek termasuk dua wanita diberkas polis kerana disyaki mencuri dan melakukan khianat kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM).
Kumpulan yang dipercayai sindiket berumur 23 hingga 47 tahun itu ditahan sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah dan balai polis Muar pada 5 September lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhriz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan mencuri kabel dengan cara memotong dan menarik keluar kabel daripada “main hole” menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Susulan kejayaan itu pelbagai peralatan seperti pemotong kabel, papan tanda, kon, tali lam yang disyaki digunakan dalam kegiatan curi kabel berkenaan dirampas” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil semakan rekod lampau mendapati dua daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan mencuri kabel.
Manakala seorang suspek utama mempunyai 34 rekod lampau termasuk 26 kes kesalahan jenayah dan lima kes dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya dan di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.