
Oleh: Safwan Sawi
PENAMPANG: Dua wanita ditahan selepas dipercayai memperdaya mangsa dalam urusan jual beli tanah dan pinjaman wang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM92,200.
Kedua-dua suspek ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek pertama tangkapan membabitkan wanita tempatan berusia 44 tahun yang bekerja sebagai ejen hartanah dan disyaki terbabit dengan urusan jual beli tanah lot.
Modus operandi suspek adalah dengan memperdaya mangsa untuk urusan jual beli lot tanah yang tidak wujud.
“Mangsa telah menyerahkan sejumlah wang deposit tunai bernilai RM85,000 kepada suspek bagi urusan pembelian tanah lot.
“Namun suspek membelanjakan wang itu untuk kegunaan peribadi tanpa membuat sebarang pembayaran kepada pemilik tanah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, tangkapan kedua merupakan wanita berusia 31 tahun yang disyaki terbabit dengan kes penipuan pinjaman wang tidak wujud.
Modus operandi yang digunakan dengan memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman wang tidak wujud.
“Mangsa diperkenalkan kepada abang suspek untuk tujuan membuat pinjaman wang dan dibawa ke sebuah syarikat pinjaman wang.
“Tidak lama kemudian suspek memperdaya mangsa kononnya abang suspek telah memukul individu yang menguruskan pinjaman wang berkenaan dan bertindak meminta sejumlah wang daripada mangsa bagi tujuan ikat jamin polis.
“Akibat terpedaya, mangsa kemudiannya mendepositkan sejumlah wang bernilai RM7,200 menerusi beberapa transaksi ke dalam akaun suspek,” katanya.
Menurutnya lagi, kedua-dua suspek kes tipu terbabit berjaya diberkas dan direman untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, jelas Sammy, terdapat peningkatan ketara membabitkan kes penipuan dalam transaksi kewangan.
“Oleh itu, polis ingin mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan transaksi kewangan kepada individu ataupun urusan jual beli yang meragukan.” katanya.