JOHOR BAHRU: Polis memberkas dua lelaki warga Singapura dan merampas lima tong cecair hitam dipercayai ubat batuk dianggarkan bernilai lebih RM75,000 di Jeti Senibong Cove Marina di sini, petang semalam.
Kedua-dua suspek masing-masing berumur 45 dan 50 tahun diberkas sepasukan polis Marin Wilayah dua dalam satu operasi khas, jam 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati ubat batuk berkenaan disyaki akan diedarkan dalam pasaran tempatan.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menjadi ‘transporter’ iaitu mengambil bekalan dari pembekal dan menghantar ke pasaran luar negara,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah.
Turut dirampas sebuah bot fiber, sebuah enjin dan empat buah telefon dianggarkan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM465,150.
Kedua-dua suspek ditahan reman empat hari hingga 7 Disember bagi membantu siasatan.
Kes disiasat dibawah seksyen 9(1) dan seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 5 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.