Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SEPANG: Dua warga tempatan ditahan kerana disyaki cuba menyeludup dadah jenis ketamin seberat 31.09 kilogram (kg) bernilai hampir RM1.56 juta ke negara ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, mereka ditahan dalam dua kes berasingan pada 1 dan 2 November lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
“Pada 1 November 2024, pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan bersama-sama
pasukan Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Bahagian Perkastaman Zon Tengah, Unit lll (LTAKL) telah memeriksa dan menahan satu orang penumpang lelaki warga Malaysia yang berusia 18 tahun di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Terminal 1 yang baru sahaja tiba dari salah sebuah negara di Eropah dengan menaiki pesawat antarabangsa.
“Orang Yang Disyaki (OYDS) tersebut telah ditahan selepas disyaki membawa masuk
dadah jenis ketamin ke dalam Malaysia. Hasil pengimbasan yang dijalankan menggunakan mesin pengimbas bagasi, anggota yang bertugas telah mengesan imej yang mencurigakan di dalam bagasi milik OYDS dan mengesyaki ianya dadah berbahaya,” katanya dalam kenyataan.
Pemeriksaan rapi ke atas bagasi milik OYDS menjumpai beberapa paket plastik berwarna putih yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin.
Dianggarkan berat kasar kesemua dadah tersebut adalah sebanyak 16.91kg dan nilai dadah yang dirampas hampir RM845,670.
Sementara itu, dalam kes berlainan, Bahagian Penguatkuasaan juga dengan kerjasama Bahagian Perkastaman, Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 pada 2 November lalu, menahan seorang lelaki yang membawa bersama di dalam bagasi miliknya beberapa paket plastik berwarna putih mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis sama.
Anggaran dadah yang terlibat adalah sebanyak
14.18kg dengan nilaian RM709,030.
Mengulas lanjut, Norlela berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam kotak makanan dan bungkusan minuman
pracampuran bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Selain itu, bagasi-bagasi tersebut juga telah didaftar masuk menggunakan kaedah
‘checked baggage’ bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
“Bagi kedua-dua kes, kes masih dalam siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika
disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman
mati.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.