comscore
Tumpuan :
Jenayah

21 warga Bangladesh mangsa eksploitasi diselamatkan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: 21 warga Bangladesh yang disyaki dieksploitasi majikan dan menjadi mangsa pemerdagangan orang, diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua lelaki berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun diselamatkan menerusi operasi di sebuah premis rumah kedai yang dijadikan tempat tinggal di Klang, Selangor pada Isnin lalu.

 

Jelasnya, operasi itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan bermula kira-kira jam 3.30 petang membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Operasi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh majikan yang menguruskan kemasukannya ke dalam negara. Mereka juga diabaikan tanpa sebarang pekerjaan selama lebih kurang enam bulan.

“Ada di antara mereka yang telah dikeluarkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah dan bekerja, namun tidak diberikan upah (gaji) oleh majikan. Pasport mereka turut dipegang dan disimpan oleh majikan tanpa kerelaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, pasukan operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan ‘National Guideline on Human Trafficking Indicators’ (NGHTI) 2.0.

Mengulas lanjut, menurut Ruslin, pihaknya telah mengenal pasti syarikat dan majikan yang terlibat serta memulakan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Sabit kesalahan, mana-mana individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau pemenjaraan seumur hidup dan disebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

Bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta ATIPSOM yang disabitkan kepada majikan pula, pekerja atau ejen boleh dihukum dengan penalti yang lebih berat sebagaimana diperuntukkan Akta 670.

“JIM sentiasa memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat dan majikan yang terlibat dalam amalan pekerja terabai yang boleh menjurus kepada elemen eksploitasi, buruh paksa dan pemerdagangan orang dalam
kalangan pekerja dan warga asing di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada JIM atau menghubungi talian 03-8000 8000 sekiranya terdapat pekerja warga asing yang dieksploitasi ejen pekerjaan atau majikan.

Ia bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Loading...
Terkini