Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket ejen haram yang mensasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang dengan mengenakan bayaran RM500 hingga RM1,100 bagi setiap perkhidmatan untuk berurusan dengan jabatan berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia menerusi operasi khas pada Rabu dan Khamis lalu di sekitar Putrajaya, Puchong dan Kelana Jaya, Selangor serta Sungai Besi di Kuala Lumpur.
Menurutnya, operasi yang bermula pada jam 3.22 petang melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur
gerak ke lokasi dan berjaya menahan dua orang lelaki dan seorang wanita warga tempatan dipercayai merupakan ‘dalang utama’.
“Turut ditahan masing-masing seorang lelaki warga Vietnam dan warga India yang dipercayai ahli sindiket, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Sri Lanka.
“Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai lapan orang dalam lingkungan umur di antara 22 hingga 42 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Datuk Ruslin berkata, semakan awal mendapati seorang lelaki warga Vietnam mempunyai pas yang masih sah laku manakala dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Sri Lanka telah tinggal lebih masa.
Sementara itu, warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Dalam operasi itu, 209 naskhah pasport pelbagai negara dirampas dan turut menyita masing-masing sebuah kenderaan Proton X70, Proton Exora, Nissan Almera dan Audi.
“Modus operandi sindiket adalah mensasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan perkhidmatan untuk berurusan dengan JIM berkaitan pasport dan pas seperti pas lawatan sosial (PLS), pas lawatan kerja sementara (PLKS), pas lawatan ikhtisas (PLIK) dan visa.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM500 hingga RM1,100 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Tambahnya, kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
Ketiga-tiga warga tempatan pula ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
“Jabatan ini akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.