comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 ditahan seleweng diesel subsidi

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiga lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah kawasan perindustrian di Seremban, Negeri Sembilan, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, ketika serbuan, suspek yang mengaku sebagai pekerja di premis tanpa nama itu sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel daripada tangki simpanan ke sebuah lori tanker.

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDNHEP Putrajaya hasil risikan selama beberapa hari.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 40,000 liter, kenderaan lori, mesin pemampat, dokumen-dokumen perniagaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel. Semua ini disita bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM323,000.

Siasatan kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan termasuk dari mana minyak diesel itu diperolehi dan diedarkan.

“KPDNHEP ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.

Loading...
Terkini