KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) yang disiasat polis susulan Op Global yang dijalankan, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di Negeri Sembilan, esok.
Ia pertuduhan kedua selepas seorang lelaki didakwa di mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas kesalahan membabitkan ugutan jenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan asal Op Global di Negeri Sembilan dipecahkan kepada empat mengikut pembabitan suspek bagi memudahkan pertuduhan.
“Seorang suspek berusia 21 tahun akan didakwa dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) akta sama.
“Sementara dua lagi suspek berusia 20 dan 22 tahun masing-masing akan didakwa atas enam dan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) akta sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Untuk rekod Seksyen 14 Akta 792 merujuk amang seksual fizikal atas kanak-kanak, dengan Seksyen 14(a) membabitkan kesalahan menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak, manakala 14(b) membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang itu atau bahagian badan mana-mana orang lain.
Sebelum ini, polis dilapor menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan melalui Op Global pada 10 September lalu.
Razarudin dipetik berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.
Susulan kes itu, katanya 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun.
Berdasarkan maklumat serta siasatan dilakukan, pihak polis mengesyaki GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Modus operandi GISBH berdasarkan risikan dan kenyataan mangsa mendapati mangsa diajar, dididik untuk meliwat seterusnya diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
Terdapat juga kanak-kanak didera menggunakan objek seperti sudu panas sebagai bentuk hukuman apabila melakukan kesilapan.
Terdahulu hari ini, anggota GISBH, Mohamad Riza Makar, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah ke atas seorang wanita yang juga bekas anggota organisasi itu, awal bulan ini.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Riza yang juga ahli perniagaan didakwa menakutkan secara jenayah ke atas wanita berusia 25 tahun di tempat letak kenderaan Galeria, Presint 4 di Putrajaya kira-kira jam 10 malam, pada 9 September lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit bersalah.
Jenayah
3 lelaki ada kaitan GISBH dituduh kes amang seksual kanak-kanak esok
Loading...
Terkini