comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 lelaki bertopeng tetak tuan rumah dalam rompakan

Foto hiasan

BERA: Tiga individu bertopeng memecah masuk ke dalam sebuah rumah dan menetak seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun di Kemayan, dekat sini dalam kejadian samun pagi Rabu lalu.

Selain mencederakan pemilik rumah, lelaki terbabit juga melarikan sebuah Toyota Fortuner warna hitam ketika kejadian jam 10 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N Kumaran, berkata polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bera mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa mengalami kecederaan di lengan dan kaki dipercayai akibat ditetak dengan parang dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk rawatan.

“Hasil siasalan awal mendapati, suspek adalah tiga lelaki bertopeng yang memecah masuk melalui pintu belakang rumah mangsa dan mencederakannya sebelum melarikan kenderaan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek dipercayai melarikan diri menaiki kenderaan Perodua Myvi warna kelabu dan kenderaan milik mangsa menghala ke Bahau, Negeri Sembilan.

“Kenderaan mangsa kemudian ditemui di dalam kawasan kebun getah, FELDA Sungai Lui, Negeri Sembilan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat dengan segera dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bera, 09-2507999 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Loading...
Terkini