Tumpuan :
Jenayah

3 lelaki diberkas, dadah 11.5 kilogram dan sepucuk pistol dirampas

Oleh: Zahir Senapiah

MUAR: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar dan merampas 11.5 kilogram dadah disyaki ganja dalam satu serbuan sebuah kereta bezza, di Jalan Muafakat, Kampung Temiang, Bukit Treh di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, tiga suspek berumur 32 hingga 40 tahun ditahan jam 10.30 malam ketika berada di dalam sebuah kereta yang dipakir di tepi jalan berkenaan.

Mereka dipercayai sedang menunggu individu lain untuk berurus niaga dadah.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati dadah bernilai RM40,000 itu dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock bersama 15 peluru 9mm dan sebuah kereta yang disewa, dipercayai bagi mengaburi polis.

“Seorang daripada lelaki itu bekerja sebagai mekanik, manakala dua lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap. Mereka dipercayai aktif dalam kegiatan mengedar dadah sejak dua bulan ini,” katanya pada sidang media, pagi tadi.

Raiz Mukhliz berkata, ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, mereka direman seminggu bermula Ahad lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini