Tumpuan :
Jenayah

3 lelaki terlibat penyeludupan senjata api, curi kenderaan mati ditembak polis

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad (kiri) menunjukkan kepada media antara barangan yang dirampas termasuk pistol bersama peluru dan beberapa peralatan curi kenderaan selepas polis menumpaskan penjenayah penyeludupan senjata api serta curi kenderaan mewah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. FOTO NSTP.

GEORGE TOWN: Tiga lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan senjata api dan curi kenderaan mewah mati ditembak polis dalam kejadian di Jalan Changkat, Pulau Burung, Nibong Tebal di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Selatan melakukan operasi cegah jenayah kira-kira jam 5.30 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, terdahulu polis menemui dua kenderaan iaitu jenis Honda Accord dan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika memperkenalkan diri, suspek secara tiba-tiba bertindak melepas beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.

“Anggota polis terbabit kemudian terpaksa melepas beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan pemeriksaan mengesahkan kesemua suspek mati di tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk pistol semi auto; revolver dan kotak Bullet Master mengandungi sebanyak 50 peluru 9 mm Luger A USA; sekotak 9mm Luger mengandungi 44 peluru 9mm D621101; parang; kuku kambing dan tukul besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Juga ditemukan pemotong, peralatan curi kenderaan, pemutar skru, nombor pendaftaran kenderaan, peralatan elektronik dan dua kereta.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, semakan mendapati kereta jenis Honda Accord dilapor hilang di Seri Kembangan, Selangor pada 2019, manakala Perodua Myvi tiada rekod hilang.

Katanya, kesemua suspek berusia 30 hingga 42 tahun yang mana suspek pertama didapati mempunyai sebanyak 35 kesalahan lampau jenayah dan lapan kesalahan narkotik.

“Suspek kedua pula mempunyai enam rekod lampau dan lelaki ketiga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

“Kesemua suspek adalah rakan sejenayah serta tidak mempunyai pekerjaan tetap dan disyaki aktif menjalankan aktiviti berkenaan sejak awal tahun ini,” katanya.

Menurut Hamzah, siasatan mendapati suspek menyasarkan samun rumah dan mencuri kenderaan pacuan empat roda untuk diseludup ke negara jiran.

Sebelum kejadian, suspek dipercayai sedang dalam perjalanan melakukan jenayah.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Berikutan penjenayah yang ditumpaskan itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 33 kes curi kenderaan dan samun yang membabitkan kerugian kira-kira RM4 juta,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini