BUTTERWORTH: Polis menahan tiga penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya, sebelum ujian saringan air kencing mendapati kesemua lelaki itu positif dadah Methamphetamine.
Ketiga-tiga suspek itu diberkas ketika Op Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di Bagan Ajam, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga lelaki berusia 21, 23 dan 36 tahun itu.
“Ketiga-tiganya kemudian diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, untuk tindakan lanjut.
“Selain dikesan menunggang motosikal bawah pengaruh dadah, seorang daripada suspek terbabit juga didapati mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal yang ditunggangnya,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen (1)(a) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan menunggang motosikal bawah pengaruh dadah, serta Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Secara keseluruhan dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi semalam itu, katanya, polis menyita 13 motosikal dan mengeluarkan 77 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Beliau berkata, orang ramai yang ada maklumat mengenai kegiatan menyalahi undang-undang seumpama itu, diminta menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Seberang Perai Utara melalui talian 04-5759122.