comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 remaja lelaki ditahan, rogol kanak-kanak secara berkumpulan

TAWAU: Tiga remaja lelaki ditahan pihak polis kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur secara berkumpulan, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, tiga suspek masing-masing berumur 12 hingga 14 tahun yang juga kenalan mangsa ditahan di sekitar daerah ini kira-kira jam 5.40 petang, pada Jumaat.

Beliau berkata, penahanan ketiga-tiga suspek dibuat susulan laporan dibuat ibu mangsa mengenai kejadian rogol menimpa anak perempuannya yang berusia 12 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian rogol itu berlaku kira-kira jam 9 malam pada Khamis di kawasan kebun berhampiran sebuah kampung dekat sini.

“Ketiga-tiga suspek terbabit yang tidak bersekolah itu adalah kenalan dan tinggal sekampung dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Champin berkata dua suspek adalah pemegang sijil lahir, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, polis telah mendapat perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Tawau dan semua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 2 Oktober depan untuk siasatan lanjut.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini