comscore
Tumpuan :
Jenayah

30 PATI diberkas di sempadan negara

30 PATI ditahan ketika cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, petang semalam. – Foto NSTP/Ihsan ATM

ALOR SETAR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataannya, berkata semua PATI warga Myanmar itu ditahan petang semalam menerusi Sektor OP BENTENG di Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia di Bukit Kayu Hitam.

“Kira-kira jam 3.30 petang, sepasukan anggota ronda yang sedang melaksanakan tugas rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan pergerakan sekumpulan orang awam yang dalam keadaan mencurigakan bersembunyi di kawasan belukar di dalam kebun getah.

“Anggota bertugas bersama pasukan Quick Respond Force (QRF) seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam itu seramai 30 orang,” katanya.

Turut dirampas, 27 telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand, 24 kad pengenalan warga Myanmar dan beg pakaian dengan keseluruhan anggaran rampasan bernilai RM17,163.

Semua PATI terbabit diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut. -BULETIN TV3

Loading...
Terkini