comscore
Tumpuan :
Jenayah

32 warga asing disyaki PATI ditahan dalam dua serbuan

Oleh: Fareez Azman

SENTUL: Menggajikan warga asing dipercayai pendatang tanpa izin atau PATI, itu antara kesalahan yang dikesan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur selepas 32 warga asing ditahan dalam Op Mahir di dua premis perniagaan berasingan di Sentul petang tadi.

Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu hasil risikan selama dua minggu di dua premis berkenaan.

“Kita telah buat risikan selama dua minggu didapati premis ini kita mempunyai satu keyakinan munasabah kerana mereka (pemilik dan majikan) menggajikan PATI yang tiada permit sah.

“Mereka (PATI) memang dibayar gaji dengan kerja mengangkat, menghantar tong gas membabitkan kerja-kerja di premis menjual tong gas. Juga kerja-kerja mengetuk kenderaan, membasuh kereta, semua mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut dan dibawa ke Depoh Imigresen di Jalan Duta,” jelasnya.

Buletin TV3 yang mengikuti operasi terbabit mendapati ketika anggota penguatkuasa menjalankan serbuan, ada warga asing yang sedang bekerja dan sedang berehat di kawasan penempatan yang dipercayai dibina oleh pemilik premis berkenaan.

Kesemua warga asing melibatkan lima lelaki warganegara India, tujuh Bangladesh, tiga Indonesia dan 17 warganegara Pakistan berusia antara 24 hingga 50 tahun.

Turut ditahan, seorang warganegara tempatan berusia 27 tahun dipercayai pemilik premis menjual tong gas berkenaan.

Manakala seorang lagi pemilik premis gagal dikesan, dan telah diberi saman saksi untuk individu itu hadir ke pejabat Jabatan Imigresen bagi membantu siasatan.

“Kita juga mendapati terdapat kesalahan di bawah Akta Syarikat oleh SSM dan kesalahan di bawah KPDN. Kedua-dua premis itu, kita dapat satu tangkapan (pemilik premis) satu lagi kita telah keluarkan saman saksi untuk dia (pemilik premis kedua) hadir ke Pejabat Imigresen untuk siasatan,” katanya lagi.

Hasil pemeriksaan terhadap kesemua warga asing itu mendapati terdapat beberapa kesalahan dikesan.

Antaranya tiada dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tinggal lebih masa di bawah Seksyen (1)(c) akta yang sama dan menyalah guna syarat pas lawatan di bawah Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini