Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Polis Johor Bahru Selatan (JBS) menahan 33 individu termasuk 30 wanita warga asing dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, malam tadi.
Semua wanita yang berumur 18 hingga 45 tahun ditahan ketika sedang melayan pelanggan sambi minum minuman keras.
Ketua Polis JBS, ACP Raub Selamat berkata, dalam serbuan jam 11.57 malam itu, turut ditahan seorang lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing dipercayai pengurus kepada kumpulan wanita warga asing terbabit yang bekerja tanpa permit.
Semua yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis JBS untuk proses dokumentasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55B, 39(b), dan 61(C)(1) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti seperti itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau bilik gerakan ibu pejabat JBS ditalian 017-2182323.