comscore
Tumpuan :
Jenayah

34 pegawai ditahan: JKDM beri kerjasama penuh pada SPRM

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap 34 pegawainya.

Dalam satu kenyataan, JKDM memaklumkan pendirian pihaknya jelas dan tegas bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dengan salah laku serta pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.

“Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terbabit hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan SPRM kelak.

“Dalam masa yang sama, pihak JKDM sudah mengambil langkah proaktif secara berterusan bagi mengekang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu sempadan.

“Ia termasuklah dengan menambahbaik prosedur import dan eksport di pintu masuk negara terutamanya berkaitan kawalan ‘manifest /airway bill’ dan pengikraran bagi memastikan pematuhan dan tata kelola baik dilaksanakan serta mewujudkan elemen semak dan imbang.

“Memperkasakan pelaksanaan proses saringan integriti terhadap pegawai JKDM yang akan di tempatkan di bahagian berisiko tinggi membabitkan perkastaman termasuk import dan eksport serta menggiatkan operasi penguatkuasaan untuk membanteras penyeludupan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan babitkan beberapa anggota JKDM di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.

Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Tahanan itu membabitkan anggota dan pegawai penguatkuasa berusia 30 hingga 50 tahun yang dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

Dalam pada itu, JKDM berkata selain memberikan kerjasama, pihaknya juga akan meneliti semula amalan, prosedur dan tatacara kerja bagi menutup rang dan peluang rasuah serta mendapatkan pandangan serta syor oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM bagi penambahbaikan yang sewajarnya.

“JKDM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak
SPRM dalam memerangi jenayah rasuah selaras dengan agenda utama JKDM pada masa ini dalam memartabatkan nama baik jabatan pada pandangan masyarakat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini