Tumpuan :
Jenayah

35 kenderaan seludup dari Thailand bernilai lebih RM7.78 juta dirampas Kastam Kelantan

JKDM merampas 35 unit kenderaan dipercayai diseludup dari Thailand sejak Januari hingga November lalu membabitkan nilai lebih RM7.78 juta termasuk cukai. FOTO: Ihsan JKDM

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 35 unit kenderaan diseludup dari Thailand sejak Januari hingga November lalu membabitkan nilai lebih RM7.78 juta termasuk cukai.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan itu dilakukan menerusi beberapa siri operasi bagi mengesan kenderaan yang diseludup dari negara jiran.

“Semua kenderaan berkenaan didapati tidak mematuhi prosedur pengimportan, kerana tiada permit import dan dokumen pengimportan tidak dapat dikemukakan.

“Modus operandi mereka adalah kenderaan terbabit dijual di pasaran tempatan menggunakan nombor pendaftaran model kenderaan sama yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Wan Jamal Abdul Salam berkata, pihaknya turut merampas 150,000 batang rokok seludup bernilai RM129,000 termasuk cukai.

Katanya, rampasan itu dilakukan di Pulau Tengkorak, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 20 Disember lalu.

“Bekalan rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk menggunakan bot melalui tempat pendaratan yang tidak sah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Orang ramai juga dinasihat tidak melakukan aktiviti menyalahi undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka terbabit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini