comscore
Tumpuan :
Jenayah

35 ketulan dadah jenis ganja ditemui dalam sebuah kenderaan pikap di bengkel kenderaan

FOTO: Ihsan JKDM

ALOR SETAR: Cubaan menyorok 35 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dalam empat kotak putih di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Pekan Changlun, Jitra terbongkar apabila lokasi itu diserbu anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Kedah, Ahad lalu.

Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar pada jam 3.30 petang itu dilakukan berdasarkan maklumat dan risikan serta pemantauan rapi sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, dadah itu disimpan di sebuah kenderaan pikap yang diletakkan di bengkel itu bernombor pendaftaran negara jiran.

“Seorang lelaki tempatan berusia 50-an ditahan untuk siasatan lanjut dan direman sehingga 9 Disember ini untuk membantu siasatan.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyorokkan dadah jenis ganja itu di dalam kenderaan yang diletakkan dalam bengkel membaiki kenderaan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Izah berkata, nilai pasaran bagi 35 ketulan dadah jenis ganja itu dianggarkan bernilai RM142,000.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut peruntukan Seksyen 39B(2) akta sama.

“Bagi kesalahan pertama, mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) melakukan kesalahan akta ini dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.

“Sehubungan itu, orang ramai diharap dapat membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu,” katanya.

Nor Izah berkata, penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, JKDM menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Loading...
Terkini