comscore
Tumpuan :
Jenayah

4 bot dirampas bawa barang kawalan tanpa permit

Oleh Joseph George P. Loling

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Lahad Datu menahan 2 rakyat asing dan merampas 4 bot disyaki membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit di perairan Felda Sahabat di Lahad Datu, Isnin lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pihaknya menerima beberapa laporan daripada orang awam mengenai kegiatan haram membabitkan penyeludupan barang kawalan di sekitar perairan Felda Sahabat ke negara jiran.

Bertindak atas maklumat itu, 2 buah bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan Ops Pluto Timur di perairan berkenaan, berjaya mengesan 4 buah bot dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak dari Perairan Felda Sahabat menuju ke negara jiran, kira-kira jam 12.05 tengah malam.

Menyedari kegiatan mereka dikesan, bot itu cuba melarikan diri sebelum dikejar bot peronda Maritim Malaysia.

Nik Mohd Rizam berkata 2 lelaki berjaya ditahan manakala sebahagian yang lain berjaya meloloskan diri di kawasan bakau berhampiran.

Katanya pemeriksaan awal mendapati dua lelaki rakyat asing berusia 30 tahun dan 35 tahun bertindak selaku juragan dan pembantu juragan bagi membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot tersebut.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas 4 buah bot itu telah menemukan pelbagai barang kawalan berjadual iaitu 3,791 kilogram minyak masak paket bersubsidi pelbagai jenama berserta 16 tong gas petroleum cecair, LPG bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Nik Mohd Rizam berkata pemeriksaan dokumentasi mendapati juragan yang ditahan gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa.

Bot, muatan serta kedua-dua kru bot itu ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Akta Kastam 1967.

Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan, disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM174,611.20.

Statistik tangkapan Zon Maritim Lahad Datu merekodkan 43 kes pelbagai kesalahan sejak awal Januari lalu termasuk 10 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Beliau berkata Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE.

Loading...
Terkini