
KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin Wilayah Satu berpangkalan di Pulau Pinang membuat rampasan senjata api membabitkan lima pistol, enam kelopak pistol dan 211 peluru dalam sebuah bot fiber di kawasan perairan Pelabuhan Pulau Pinang, semalam.
Turut dirampas dalam kejadian jam 3 petang ialah selaras senapang M4, lapan kelopak peluru M4 dan anggaran 500 peluru M4.
Daripada pemeriksaan itu pihak berkuasa menahan empat individu terdiri dua lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia.
Mengikut salinan rampasan yang dilihat BH, PPM membuat pemeriksaan dan rampasan berkenaan selepas menerima maklumat mengenai penyeludupan di perairan negeri itu.
Menurut laporan itu, setibanya pihak penguat kuasa di kawasan pelabuhan dengan menggunakan bot ronda RH 35, PSC 46, dan PIB 1, pemeriksaan dibuat ke atas dua buah bot sampan fiber.
Polis menemui sepucuk pistol yang disembunyikan di bahagian tengah satu bot dan mengarahkan kedua-dua bot untuk diiring pulang ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan menyeluruh, pasukan polis menemukan lima pucuk pistol; enam kelopak pistol; 211 peluru; selaras M4; kelopak M4 dan anggaran 500 peluru M4.
Semua senjata api berkenaan sudah dirampas dan masih dalam proses untuk penilaian nilai sebenar.
Empat individu kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang memperuntukkan hukuman berat terhadap pemilikan senjata api tanpa kebenaran atau lesen.
Keseluruhan barang rampasan akan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Seberang Perai Tengah (SPT) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang dijadual mengadakan sidang media mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan di bawah Akta Senjata Api 1971 oleh PPM Wilayah 1, petang ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.