Tumpuan :
Jenayah

4 lelaki dicekup polis selepas baru 4 jam belajar samun

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas selepas menahan empat suspek termasuk seorang penjawat awam yang melakukan kegiatan samun di sebuah kedai alat memancing di Jalan Lencongan Barat, Ahad lalu. FOTO: NSTP

SUNGAI PETANI: Seorang penjawat awam dan tiga rakannya yang baru pertama kali melakukan kegiatan samun Ahad lalu, kecundang apabila mereka ditahan polis selepas empat jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kesemua mereka yang berusia 32 hingga 52 tahun itu dipercayai minat memancing.

Beliau berkata, disebabkan itu mereka menyasarkan kedai menjual alat memancing di Jalan Lencongan Barat, di sini untuk melakukan kegiatan samun itu pada jam 10.30 pagi, Ahad lalu.

“Pihak polis menerima panggilan pada jam 11.27 pagi Ahad lalu yang memaklumkan berlaku kejadian samun yang menggunakan senjata api di lokasi kejadian.

“Hasil maklumat berkenaan, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan siasatan sebelum menahan empat lelaki terbabit untuk siasatan.

“Siasatan lanjut mendapati, seorang daripada suspek yang ditahan itu adalah penjawat awam berusia 43 tahun manakala dalang kumpulan itu iaitu suspek kedua berusia 38 tahun,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di kawasan Kampung Teluk Wang Besar, dekat sini dan pihaknya merampas pelbagai peralatan memancing, wang tunai dan dadah jenis ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 70.31 gram.

Beliau berkata, keesokannya, seorang daripada suspek mendedahkan tempat penyimpanan senjata api di sebuah bengkel kereta di lokasi terbabit dan turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver bersaiz empat inci dan tiga unit bahan letupan (plastic Explosive No.4).

“Modus operandi yang dilakukan mereka adalah dengan masuk ke dalam premis itu dan berpura-pura untuk membeli barangan sebelum bersetuju untuk membeli satu barang dalam kedai terbabit.

“Suspek kemudian keluar dahulu daripada kedai berkenaan dan kemudian lebih kurang 10 minit kemudian dia masuk semula ke dalam kedai itu dan terus melakukan samun.

“Daripada maklumat awal yang kita perolehi, suspek dipercayai menggunakan senjata parang tetapi apabila ada saksi yang tampil membantu polis, kita berjaya mengenal pasti bahawa senjata yang digunakan dalam kejadian adalah senjata api jenis pistol Revolver,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, hasil siasatan juga mendapati, kedai menjual alat memancing itu dipercayai tersorok di tepi jalan.

Katanya, premis itu juga mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV) namun ia tidak berfungsi sejak tiga tahun lalu.

“Hasil siasatan mendapati, pistol itu adalah milik suspek kedua yang diperolehi dari sebuah negara sejak 2008.

“Bagaimanapun, kumpulan ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak dari negara luar dan mereka dipercayai baru pertama kali hendak melakukan samun,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, penjawat awam terbabit dan suspek ketiga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai satu rekod kes jenayah dan tiga rekod dadah manakala suspek keempat mempunyai satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga 17 November ini dan akan disambung reman untuk membantu siasatan berhubung kes ini.

“Selain itu, pihak polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki berusia 30-an yang disyaki terbabit dalam kes ini dan identitinya sudah dikenal pasti setakat ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini