BALIK PULAU: Reman terhadap empat operator kilang bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir remaja berusia 14 tahun di Bayan Lepas pada 10 November lalu, disambung tiga hari.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin, yang bertindak sebagai Majistret, mengarahkan sambungan reman berkuat kuasa esok hingga 21 November ini.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap empat lelaki itu mengikut Seksyen 375b Kanun Keseksaan.
Terdahulu, empat warga tempatan berusia antara 20 hingga 25 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Balik Pulau jam 8.29 pagi dengan diiringi anggota polis.
Sebelum ini, mereka direman tujuh hari yang berakhir hari ini.
Mengikut laporan, mangsa yang masih bersekolah dikatakan keluar dari rumah pada jam 12.30 tengah malam sebelum dirogol bergilir-gilir oleh tiga lelaki di sebuah rumah sewa di Jalan Sungai Ara 3 di sini.
Mangsa mendakwa mengenali lelaki pertama pada April lalu menerusi kenalan tetapi tidak mengenali yang lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.