Tumpuan :
Jenayah

4 lelaki samun bersenjata api di Bukit Selambau diburu polis

SUNGAI PETANI: Polis sedang memburu empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis membeli hasil sawit di Kampung Perak Sungkup, Bukit Selambau, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 1.50 tengah hari yang memaklumkan tentang insiden samun menggunakan senjata api di lokasi kejadian.

“Sebuah kereta Honda City dilihat memasuki kawasan premis. Tiga suspek lelaki bertopeng dan berpakaian serba hitam turun dari kereta dan meluru ke arah beberapa pekerja di hadapan premis terbabit, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kenderaan.

“Semasa kejadian, suspek menggunakan pistol dan parang. Seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap dan melepaskan tembakan ke arah siling premis sebelum melarikan diri dengan kereta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 04-4236999.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun bersenjata di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada hari sama.

Wan Azharuddin berkata suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, sekitar petang semalam.

“Turut dirampas, seutas rantai tangan yang dipercayai berkaitan dengan kes samun di Bandar Puteri Jaya,” katanya menambah siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes samun itu, selain turut mempunyai 12 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod kesalahan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda, atau sebatan.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang wanita warga emas berusia 68 tahun diancam dengan pisau di rumahnya sebelum suspek melarikan rantai tangan dan cincin emas milik mangsa. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini