comscore
Tumpuan :
Jenayah

4 pelajar sekolah ditahan merempit di bulan Ramadan

4 pelajar sekolah menengah ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh. – FOTO: NSTP/ Ihsan Polis IPD Pasir Puteh

PASIR PUTEH: Empat pelajar sekolah menengah di daerah ini ditahan polis ketika operasi Op Samseng Jalanan bermula jam 4 petang semalam.

Kesemua pelajar berusia 15 hingga 18 tahun itu ditahan ketika operasi dilakukan anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Zaizul Rizal Zakaria berkata, operasi membabitkan 19 anggota polis.

“Sejumlah 33 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan sitaan terhadap tujuh motosikal.

“Kami turut menahan empat pelajar sekolah yang didapati berlumba. Semua mereka diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya tadi.

FOTO: NSTP/ Ihsan Polis IPD Pasir Puteh

Zaizul berkata, operasi dilaksanakan berikutan gejala samseng jalanan yang semakin aktif susulan pemerhatian dan aduan awam sepanjang Ramadan ini.

Katanya, pihak polis tegas dalam soal pemantauan dan operasi bagi mencegah kegiatan tidak sihat sepanjang bulan mulia ini.

“Kami meminta ibu bapa memantau pergerakan anak masing-masing supaya tidak terbabit dalam aktiviti tidak sihat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini