comscore
Tumpuan :
Jenayah

4 penjawat awam ditahan, minta dan terima rasuah RM3,630

Empat penjawat awam dibawa ke Mahkamah Majistret Sivil, di sini, pagi tadi, untuk perintah reman bagi siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,630 sebagai dorongan untuk mendapatkan projek pembekalan dan perkhidmatan. Foto Ihsan SPRM.

SEREMBAN: Empat penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), petang semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,630.

Menurut sumber, kesemua suspek membabitkan dua lelaki serta dua wanita berusia 30an dan 40an itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam ketika hadir di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini.

“SPRM menahan empat penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM3,630 dipercayai berlaku sekitar tahun 2023 hingga 2024.

“Ia sebagai dorongan untuk mendapatkan projek pembekalan dan perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sivil, di sini, pagi tadi, dan perintah reman dikeluarkan Majistret Syed Mohd Farid Syed Ali selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Julai depan.

“Kesemua suspek diwakili Peguam Mohd Redzuan Hakiim Sulaiman dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK),” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini