JOHOR BAHRU: Empat lelaki warga Singapura yang terbabit dengan operasi kumpulan jenayah terancang membabitkan pertaruhan judi haram yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) awal bulan ini, diserah kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk siasatan lanjut.
Penyerahan dilakukan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis (Siasat dan Risikan) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Komisioner Zhang Weihan, hari ini.
Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, semua suspek berusia 41 hingga 60 tahun itu diserahkan selepas mereka membayar denda yang dikenakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, semalam.
“Hasil perkongsian maklumat daripada SPF, pada 1 Julai lalu, kita lancarkan tiga serbuan di tiga lokasi berasingan dekat pangsapuri sekitar bandar raya ini dan menahan enam individu iaitu empat lelaki warga Singapura dan dua wanita warga tempatan berusia 29 serta 34 tahun.
“Suspek terbabit dengan sindiket judi dalam talian membabitkan taruhan 4D, judi kuda haram yang mana ia dilakukan (pemain) di Singapura, namun pusat pengiraan di Malaysia, iaitu yang merekodkan segala taruhan,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
“Sindiket ini juga tidak menggunakan perkhidmatan talian Malaysia, kesemuanya juga tiada dalam pemantauan PDRM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mereka berada di sempadan Johor-Singapura.
“Suspek menggunakan perkhidmatan talian Singapura serta beberapa laman sesawang yang dikenal-pasti sebagai tempat menerima pertaruhan.
“Kaedah ini digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa yang mana ia beroperasi di negara berlainan,” katanya lagi.
Menurut Datuk Seri Shuhaily, empat warga Singapura yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, perjudian tanpa lesen, kongsi gelap dan merusuh.
Katanya, dua wanita warga tempatan itu berperanan menguruskan transaksi perjudian terbabit.
“Hari ini, kita serah empat suspek warga Singapura kepada SPF. Untuk makluman, semua (keempat-empat suspek) sudah dijatuhi hukuman denda, jadi mereka ditahan atas waran untuk diserahkan kepada pihak Singapura.
“Dalam konteks risikan, kita akan kongsikan bersama pihak Singapura kerana kes induk di Singapura, jadi mereka (Singapura) yang akan lengkapkan siasatan dan apa juga maklumat yang kita terima, kita boleh siasat,” katanya.
Pada 1 Julai lalu, Polis Singapura dan Malaysia berjaya menumpaskan operasi kumpulan penjenayah terancang dengan menahan 43 individu disyaki terbabit dalam pertaruhan judi haram.
SPF turut mengeluarkan perintah larangan pelupusan untuk tujuh hartanah bernilai lebih SGD$10.7 juta (RM37.02 juta).
Wang, barang kemas, jam tangan mewah dan lebih 40 akaun bank dianggarkan berjumlah hampir SGD$4 juta (RM13.84 juta) turut dirampas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa