comscore
Tumpuan :
Jenayah

40 ditahan, terlibat penipuan pelaburan wang kripto

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 40 individu dipercayai terbabit skim penipuan pelaburan Yomaex dengan kerugian RM50.62 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, 31 lelaki dan sembilan wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 55 tahun ditahan dalam operasi pada 29 hingga 31 Oktober lalu.

Beliau berkata, operasi dijalankan susulan 77 kertas siasatan dibuka membabitkan pelaburan itu dengan kerugian RM50.6 juta.

“Mangsa-mangsa direkodkan berusia dari 22 hingga 81 tahun dan mempunyai pelbagai latar belakang kerjaya dengan majoritinya adalah pesara dan ahli perniagaan.

“Berdasarkan siasatan, skim ini menawarkan pelaburan berasaskan matawang kripto dengan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat.

“Setiap pelabur akan diberikan akses untuk memantau urus niaga yang dilakukan melalui sistem yang dikendalikan pihak syarikat selain dapat melihat akaun mereka menjana keuntungan namun mereka tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pengeluaran,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ramli berkata, setakat ini pihaknya mengesan sejumlah 63 akaun bank yang digunakan oleh sindiket penipuan itu membabitkan 32 syarikat dan 19 perniagaan.

“Pihaknya percaya, syarikat dan perniagaan ini didaftarkan semata- mata untuk pengoperasian skim penipuan itu.

“Seramai 38 orang yang ditahan berperanan sebagai pemilik perniagaan, pengarah syarikat dan setiausaha syarikat-syarikat yang digunakan dalam skim penipuan ini.

“Dua individu lagi adalah pegawai bank dan ejen pencari akaun keldai,” katanya.

Tambah Ramli, pihaknya turut merampas pelbagai barangan antaranya 19 telefon bimbit, 17 dokumen berkaitan skim pelaburan, satu token keselamatan transaksi perbankan dalam talian serta peralatan lain untuk kegiatan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini