comscore
Tumpuan :
Jenayah

42 warga asing termasuk GRO ditahan 

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Perak berjaya menahan 42 warga asing termasuk 10 gadis pelayan pelanggan (GRO) menerusi serbuan yang dijalankan malam tadi.

Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam satu kenyataan memaklumkan operasi penguatkuasaan itu dijalankan hasil maklumat aduan dan pemantauan risikan di empat premis perniagaan dan dua premis kediaman di sekitar Bandaraya Ipoh, di sini.

“Serbuan dilakukan dengan kekuatan anggota seramai 20 orang pegawai, dan pemeriksaan telah dilakukan ke atas 79 orang warga asing dari pelbagai negara.”

“Hasil kemahiran tinggi dan kecekapan intipan dan pemeriksaan premis telah berjaya mengesan serta menggagalkan usaha licik untuk meloloskan diri 10 GRO wanita warganegara Vietnam apabila mereka yang sedang leka bersembunyi di sebuah bilik rahsia di sebuah premis hiburan,” katanya.

GRO warga Vietnam itu katanya ditahan dalam keadaan berpeluh dan hampir lemah setelah hampir satu jam bersembunyi di dalam bilik rahsia yang tiada pengudaraan sempurna itu.

Bilik itu tambahnya menggunakan pintu automasi kawalan jarak jauh yang berjaya ditembusi oleh pasukan Penguatkuasa JIM.

“Hasil semakan, seramai 42 orang warga negara asing iaitu 15 orang lelaki dan dua orang perempuan warga negara Indonesia, seorang kanak-kanak lelaki warga negara Indonesia, 15 orang perempuan warga negara Vietnam, tujuh orang perempuan warga negara Thailand dan dua lelaki warga negara Myanmar.”

“Mereka yang ditahan berusia antara 2 hingga 50 tahun itu dipercayai melakukan kesalahan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini