comscore
Tumpuan :
Jenayah

46 ejen bookie pertaruhan Piala Dunia ditahan – Polis Johor

Antara serbuan Ops Soga IX yang membawa penahanan 46 ejen bookie pertaruhan Piala Dunia 2022. – FOTO: Ihsan Polis Johor

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan 46 individu disyaki ejen bookie sempena kejohanan Piala Dunia Qatar 2022 yang membabitkan nilai pertaruhan lebih RM6.3 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata semua suspek berusia antara 18 hingga 72 tahun ditahan melalui 45 serbuan Op Soga IX di seluruh negeri sejak 21 November lalu.

Berdasarkan siasatan, katanya had nilai kredit keseluruhan direkodkan dalam semua serbuan ini mencecah lebih RM6.317 juta, manakala pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM34,303.

“Selain mata wang tempatan, kita turut merampas wang tunai SGD500 (RM1,622), 48 telefon bimbit termasuk kad sim dan sebuah buku memo pad yang mempunyai catitan disyaki pertaruhan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

Kamarul Zaman berkata, Op Soga IX diadakan bagi membanteras gejala perjudian dan pertaruhan yang membabitkan temasya Piala Dunia itu.

“Fokus utama operasi khas ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh sempena kejohanan ini, bagi menahan individu bertindak sebagai bookie atau ‘punter’ atau kaki judi serta tempat menjalankan judi bola sepak.

“Pelaksanaan penugasan Op Soga IX merujuk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Loading...
Terkini