comscore
Tumpuan :
Jenayah

495kg syabu bernilai lebih RM17.8 juta dirampas polis

Datuk Muhamad Zaki Harun menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas PGA9. – FOTO: NSTP

PASIR MAS: Pemeriksaan ke atas sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih yang ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan membawa kepada penemuan 495 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM17.8 juta dalam kejadian di Kampung Pohon Buluh di sini, jam 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata ketika kejadian anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang membuat rondaan.

Katanya, anggota PGA bertindak membuat pemeriksaan di dalam kereta tersebut sebelum menemui banyak bungkusan guni yang diletakkan di bahagian dalam kenderaan, selain tempat duduk penumpang juga sudah diubah suai.

“Hasil pemeriksaan terperinci mendapati terdapat paket-paket kecil dengan logo jenama kopi di dalam guni berkenaan yang mana diisi dengan dadah jenis syabu disyaki dibawa seludup dari negara jiran.

“Pihak kami percaya, kenderaan terbabit ditinggalkan di tepi jalan susulan suspek menerima informasi akan kehadiran pihak berkuasa dan bertindak melarikan diri meninggalkan barangan berkenaan.

“Selain itu, hasil rampasan dadah ini didapati boleh digunakan oleh seramai lebih 4.9 juta penagih dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kenderaan dan kesemua barangan dirampas, manakala kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Melihat kepada jumlah dadah yang dirampas, kami percaya ia adalah untuk pasaran seluruh negara dan berkemungkinan besar turut dibawa seludup ke Lembah Klang.

“Siasatan dan tindakan lanjut akan terus dilakukan untuk menjejaki dalang utama kepada kes pengedaran dadah berskala besar ini, selain mengharapkan kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat jika mengesyaki kegiatan sebegini di sekeliling mereka,” katanya.

Menurutnya, Polis Kelantan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususny membabitkan penyeludupan dadah.

Loading...
Terkini