
IPOH: Tidak sampai sebulan bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah, lima lelaki ditahan susulan rampasan dadah bernilai RM1.5 juta di kawasan Gunung Rapat, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga daripada suspek berusia antara 20 hingga 25 tahun ditahan dalam sebuah kereta di tepi Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat, di sini.
Katanya, pemeriksaan dalam kereta menjumpai pil ketamin dengan berat 26,178 gram (g), cecair disyaki ketamin sebanyak 3,350 mililiter (ml), dan dadah methamphetamine seberat 1.82g dengan anggaran nilai keseluruhan RM1.571 juta.
Mohd Yusri berkata, susulan serbuan itu pihaknya turut menahan dua lagi suspek berusia 21 dan 27 tahun di sebuah rumah di Kampung Rapat, di sini kerana dipercayai turut terbabit sebagai pengedar ketamin berkenaan.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada lima suspek berkenaan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah serta dadah.
“Dua daripada suspek adalah penganggur manakala tiga lagi masing-masing bekerja sebagai penjaga stor kilang, tukang cuci kenderaan, dan kelindan lori. Sindiket ini dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak awal bulan ini dan disyaki untuk edaran di pasaran tempatan negeri Perak.
“Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung permintaan seramai 52,352 penagih,” katanya pada sidang media sempena kejayaan operasi itu di perkarangan parkir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Katanya, tindakan penyitaan juga diambil terhadap sebuah kereta jenis Perodua Bezza seeta dua motosikal selain wang tunai RM380 dengan anggaran jumlah nilai sitaan RM30,380.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kelima-lima suspek direman tujuh hari bermula semalam (21 September) hingga Rabu depan bagi membantu siasatan.