comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] 5 perompak laut Indonesia ditangkap, rompak besi buruk dari tongkang

Lima perompak laut warga Indonesia yang ditahan Maritim Malaysia. Foto APMM Johor.

KOTA TINGGI: Lima perompak laut ditahan kerana merompak muatan besi buruk dari sebuah tongkang di kedudukan 3.8 batu nautika selatan Tanjung Penyusop di sini semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili telah menerima aduan berhubung kejadian itu dari Lembaga Pelabuhan Johor (LP) pada jam 10.45 pagi.

Menurut aduan itu, sebuah bot tunda Bongawan 9 bersama tongkang (barge) Hexagro 8 telah dinaiki beberapa orang suspek dan cuba mencuri muatan tongkang tersebut.

Katanya menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, suspek bertindak melarikan diri namun berjaya dipintas.

“Semasa diiring dalam perjalanan ke Pos Maritim Pengerang, bot yang kami tahan telah mengalami kebocoran dan telah tenggelam pada kedudukan 2 batu nautika tengara Tanjung Bulat.”

Lima lelaki disyaki warga Indonesia berumur 31 hingga 53 tahun dibawa ke zon maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Anggaran nilai rampasan RM20,000.

“Hasil siasatan, suspek akan ambil masa 30 minit hingga satu jam sahaja untuk merompak muatan besi buruk dan akan terus bergerak ke arah negara jiran.”

Katanya, perompak laut terbabit beranggapan mereka tidak akan ditangkap jika mereka berjaya keluar dari sempadan negara sebaik mereka selesai menyamun.

Mohd Najib ditemui pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini, hari ini.

Jelas Mohd Najib, perompak laut terbabit juga menggunakan modus operandi yang sama seperti kejadian sebelum ini, iaitu mensasarkan bot ataupun kapal yang bergerak dalam kelajuan perlahan.

Katanya jenayah dilakukan secara berkumpulan tetapi tidak menggunakan senjata.

“Bot kayu yang karam itu dapat memuatkan tiga tan besi buruk. Satu tan besi buruk dijual di negara jiran dengan nilai 5 juta rupiah bersamaan RM1,500.”

Ini adalah aduan dan tangkapan pertama berhubung kegiatan perompak laut yang dilakukan Maritim Malaysia tahun ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk premis serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen iaitu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan.

Kesemua suspek direman 14 hari bermula hari ini.

Maritim Malaysia menyeru kepada pengusaha kapal atau komunti maritim supaya menggunakan laluan perairan ini dengan lebih berhati-hati.

Pengusaha kapal ini juga disaran supaya sentiasa menggunakan Ships Automatic Identification System (AIS) bagi memudahkan Maritim Malaysia menjejaki kedudukan kapal sekiranya berlaku kemalangan ataupun kecurian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini