comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Bayar RM2,500 seludup PATI,  SPRM tahan reman sembilan individu 

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa dalam satu operasi dikenali Ops Lancar.

Mereka disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah.

Perintah reman selama enam hari bermula 24 hingga 29 Mac dikeluarkan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu di Mahkamah Majistret Tawau, Sabah selepas pihak SPRM membuat permohonan pagi tadi.

Menurut sumber, lima suspek termasuk dua pegawai wanita yang berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang hingga 8.40 malam, semalam ditahan di pejabat masing-masing dan ketika hadir memberikan keterangan.

Sumber berkata, empat suspek dipercayai bertindak sebagai ejen PATI dari negara jiran yang melibatkan tiga wanita tempatan berusia antara 37 hingga 48 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 73 tahun ditahan antara jam 3.30 petang hingga 6 petang semalam.

Modus operandi sindiket menjurus kepada setiap PATI atau Pemastautin Sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar sekitar RM2,500 kepada ejen PATI,  jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

Menurut sumber, sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad kepada kumpulan PATI yang menggunakan khidmat mereka.

PATI dari negara jiran terbabit kemudian akan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas bayaran rasuah dibuat kepada pegawai penguat kuasa tersebut.

Sementara itu, Pengarah Perisikan SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, operasi khas itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Loading...
Terkini