comscore
Tumpuan :
Jenayah

5 premis judi dipotong bekalan elektrik

JASIN: Lima premis rumah kedai yang baharu dua minggu menjalankan perjudian dalam talian digempur polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertindak memotong bekalan elektrik, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, menerusi operasi khas judi itu pihaknya terlebih dahulu menangkap lima individu terdiri daripada pengusaha dan pekerja premis terbabit.

Menurutnya, tangkapan ke atas suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu dibuat di luar dan di dalam premis hasil risikan dan pemantauan dilakukan.

“Tangkapan dilakukan lebih awal dan hasil siasatan dijalankan kita memohon kepada pihak TNB untuk bantuan potong bekalan elektrik semalam.

“Hasil siasatan dua premis disyaki menjalankan aktiviti loteri awam tanpa lesen dan tiga lagi menjual tambah nilai judi dalam talian.

“Premis ini baru seminggu ke dua minggu dibuka dan modus operandi mereka adalah berurusan dengan pelanggan tetap bagi mengelak kegiatan haram mereka terbongkar,” katanya yang mengetuai operasi itu dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Jamil berkata, operasi turut disertai lima kakitangan TNB dalam operasi berkenaan dan tindakan dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian dalam talian untuk menyalurkannya ke balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.

“Bagi mengekang kegiatan perjudian haram ini, kita terus bekerjasama dengan TNB untuk menggempur premis yang menjalankan aktiviti perjudian di daerah ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini