comscore
Tumpuan :
Jenayah

5 Premis Pajak Gadai Tidak Berlesen Diserbu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lima premis pajak gadai tidak berlesen diserbu Cawangan Siasatan dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM200,000.

Ketua Siasatan dan Pemantauan BKKK KPKT, ACP Mohd Fauzi Hassan berkata, serbuan dilakukan masing-masing di dua premis di Melaka dan Selangor serta satu premis di Perlis sepanjang Mei hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, serbuan ke atas premis berkenaan berdasarkan hasil risikan pihak berkuasa dan aduan yang diterima daripada orang awam.

“Modus operandi yang digunakan iaitu premis beroperasi secara terbuka namun tidak menyatakan perniagaan pajak gadai. Apa yang tertera pada premis contohnya menjalankan urusan beli surat pajak atau membeli barang emas, tetapi dalam masa sama mereka menjalankan pajak gadai untuk mengelirukan dan mengaburi mata orang ramai,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, kelima-lima premis berkenaan dipercayai beroperasi antara enam bulan hingga tiga tahun.

Antara yang dirampas, barang kemas seperti cincin, rantai tangan, anting-anting, loket dan rantai leher dengan anggaran nilai RM146,050; wang tunai berjumlah RM14,539.55; alat penimbang emas; set komputer pelbagai jenama; buku daftar perniagaan (tebus emas); serta surat atau resit menyerupai surat pajak gadai.

Mengulas lanjut, ACP Mohd Fauzi berkata, lima individu warga tempatan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 iaitu menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen yang sah.

Katanya, suspek terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki berumur 20-an hingga 50-an itu akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini, 789 syarikat pajak gadai di seluruh negara mempunyai lesen sah berdaftar di bawah KPKT.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk menggunakan aplikasi i-Gadaian untuk mencari nama pemegang pajak gadai yang berlesen dan didaftarkan dengan KPKT di seluruh negara.

Loading...
Terkini