comscore
Tumpuan :
Jenayah

6 individu ditahan SPRM kes tuntutan palsu lebih RM2.5 juta

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu kerana disyaki mengemukakan tuntutan bayaran palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan sekolah di sekitar Selangor.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 57 tahun itu ditahan dalam tiga operasi berasingan bermula kira-kira jam 5 petang hingga jam 12 malam ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor semalam.

 

Sumber berkata, dalam operasi pertama, seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pemilik syarikat dipercayai mengemukakan tuntutan bayaran palsu berjumlah lebih RM760,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah sekolah di Batu Arang pada tahun 2020 sedangkan kerja tersebut tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 malam di pejabat SPRM Selangor.

Bagi operasi kedua, suspek berusia 41 tahun yang juga seorang kontraktor pula ditahan kira-kira jam 9.30 malam kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu pada tahun 2020 berjumlah lebih RM860,000 sedangkan kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Sementara itu, empat lagi suspek ditahan dalam operasi ketiga kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM870,000 membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan sebuah sekolah di Semenyih, Selangor pada tahun 2020 sedangkan kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Bagaimanapun, sumber berkata, seorang suspek berusia 57 tahun yang juga pemilik syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.

Perintah reman selama lima hari bermula 23 hingga 27 Mac 2023 dikeluarkan terhadap lima suspek tersebut oleh Majistret Nur Syuhada Abdullah di Mahkamah Majistret 3, Shah Alam selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Loading...
Terkini