JOHOR BAHRU: Sebuah pacuan empat roda akhinya berjaya ditahan polis selepas meloloskan diri sejauh 180 kilometer dari Muar ke Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, polis turut menahan enam lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pacuan empat roda itu meloloskan diri.
Beliau berkata, semua suspek yang berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan di Damansara, Kuala Lumpur kira-kira jam 7 pagi tadi.
Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan masih dijalankan termasuk berapa individu yang berada dalam pacuan empat roda yang diburu polis ketika itu.
“Susulan tangkapan itu, polis turut menahan dua kenderaan pacuan empat roda termasuk Toyota Hilux yang meloloskan diri ketika dikejar polis.
“Siasatan mendapati kedua-dua pacuan empat roda itu adalah kenderaan sewa.
“Pemeriksaan yang dijalankan turut menemukan beberapa peralatan mencuri kabel dalam sebuah kenderaan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif sebenar suspek bertindak nekad melarikan diri sejauh itu.
“Kita juga masih menyiasat sama ada semua suspek berkenaan memiliki rekod jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Penyerahan tugas itu dilakukan daripada Deputi Superitenden Afandi Senin kepada Senior Asisten Komisioner Nor Azizi Maarof.
Dalam kejadian pada jam 2.45 semalam, skuad unit peronda polis (MPV) mengesan Toyota Hilux melanggar lampu isyarat merah di Jalan Bakri, Muar.
MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar meminta kenderaan itu untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
Bagaimanapun, suspek tidak mempedulikan arahan itu lalu dan memecut kenderaannya dan melarikan diri sebelum pasukan peronda terbabit mengejarnya dibantu Polis Kontinjen Melaka serta Bukit Aman dan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.
Toyota Hilux berkenaan melarikan diri dari Muar sebelum merempuh palang tol di Plaza Tol Jasin dan keluar melalui Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Ketika melalui Chan Sow Lin, suspek bertindak nekad menaiki tebing tinggi yang tidak boleh dilalui kenderaan polis sebelum dia memasuki laluan bertentangan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.