comscore
Tumpuan :
Jenayah

61 PATI warga Indonesia ditahan dalam serbuan di kampung haram

Antara PATI yang ditahan dalam operasi JIM malam tadi.

KLANG: Berselindung di sebalik ladang kelapa sawit, seramai 61 pendatang izin tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan dalam serbuan di sebuah perkampungan haram berhampiran Taman Perindustrian Air Hitam, di sini, malam tadi.

Operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu turut disertai wartawan, membongkar kewujudan 40 rumah kayu didirikan di sepanjang 300 meter tebing Sungai Langat Kecil.

Bau busuk dan hancing memenuhi kawasan itu akibat gaya hidup Pati yang membuang sampah sarap merata tempat, selain tidak mempunyai tandas yang sempurna sebaliknya dibina dengan sisanya terus dibuang ke dalam sungai.

Seorang Pati dikenali Charles, 37, ketika ditemui mengaku masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong, tiga tahun lalu dan menetap di perkampungan itu sejak setahun lalu bersama isterinya.

“Mula-mula mahu masuk sini saya bayar RM50 pada seorang lelaki tempatan. Dia bekerja di ladang ini dan saya duduk sini, kerja kontrak di kawasan sekitar, dapat gaji RM60 sehari.

“Dulu saya masuk ada pas (pelancong) tapi dah tamat tempoh. Duduk sini mahu cari makan.. saya ada anak kecil di Flores, Indonesia,” dakwanya.

Pati dikenali Fakhrudin dari Acheh pula memberitahu menetap di perkampungan itu sejak dua tahun lalu bersama isteri dan dua anak berusia tiga dan enam tahun.

Katanya, dia mula-mula memasuki Malaysia untuk bekerja pada 2017.

“Sebelum ini saya kerja projek (pembinaan) dan duduk di rumah kongsi di Jalan Kebun, dan pindah sini dua tahun lalu.

“Saya tak tahu siapa pemilik tanah ini. Kami duduk sini tiada bayar sewa atau apa-apa pun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan bermula 11.30 malam itu dijalankan susulan aduan penduduk, pemantauan termasuk menggunakan dron dan risikan pihaknya.

Katanya, penempatan itu dipercayai dibina sejak lima ke enam tahun lalu berdasarkan struktur jalan konkrit dan beberapa kemudahan lain termasuk kedai runcit dan gelanggang untuk beriadah

“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan elektrik dan air dicuri dan lebih membimbangkan adalah mereka ini membina tandas di sepanjang sungai di mana najis dan sampah juga dibuang terus ke dalam sungai.

“Semua yang ditahan warga Indonesia berusia lingkungan enam bulan hingga 60 tahun terdiri daripada 23 lelaki, 20 wanita dan 18 kanak-kanak… dianggarkan sekitar 30 individu berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, lokasi penempatan haram yang agak tersorok itu menyukarkan ia untuk dikesan, malah Pati terbabit membina struktur konkrit bagi menyulitkan perjalanan masuk.

Tambahnya, siasatan awal mendapati, Pati terbabit bercucuk tanam dan menternak ayam serta bekerja dalam perkhidmatan pembersihan di kawasan sekitar bagi menyara hidup.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ketua kampung dan pemilik tanah ini. Kita akan minta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merobohkan struktur di sini.

“Kesemua ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1958/63,” katanya. — HARIAN METRO

Loading...
Terkini