comscore
Tumpuan :
Jenayah

7 individu ditahan, disyaki terbabit sindiket tipu pekerjaan

FOTO: IPD Melaka Tengah

MELAKA: Taktik sindiket penipuan kerja tidak wujud dengan menawarkan komisen RM12 hingga RM60 bagi setiap tugasan ‘like & share’ (suka dan kongsi) di laman web tertentu kononnya untuk meningkatkan ‘rating’ (penilaian) barangan, tumpas selepas polis menyerbu sebuah pangsapuri di Kota Laksamana, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam serbuan jam 5 petang semalam, polis menahan enam lelaki dan seorang perempuan rakyat tempatan berusia antara 16 tahun dan 26 tahun, selain merampas empat unit komputer riba dan tiga unit telefon bimbit.

“Hasil pemeriksaan awal dan penelitian barang kes mendapati sindiket ini terbabit dalam penipuan tawaran kerja tidak wujud yang menyasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, kumpulan terbabit akan mengiklan tawaran kerja di Facebook dan mangsa yang berminat akan menekan pautan WhatsApp lalu dihubungkan dengan kumpulan yang berperanan sebagai ‘pentadbir’.

“Pentadbir inilah yang akan mengajar cara-cara untuk melakukan pekerjaan ‘like & share’ di laman web tertentu bertujuan untuk meningkatkan penilaian barangan.

“Mangsa yang terpedaya kemudiannya diarahkan membuat 50 tugasan like & share dan akan memperoleh komisen di dalam sistem bernilai RM12 hingga RM60 bagi setiap tugasan. Disebabkan terpengaruh dengan komisen, mangsa akan membuat bayaran ke eWallet dalam sistem untuk menjalankan tugasan,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, sindiket terbabit yang disyaki baru tiga minggu beroperasi kemudiannya memberikan resit yang diubah suai bagi meyakinkan mangsa bahawa pembayaran komisen sudah dibuat.

Katanya, susulan penahanan anggota sindiket itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes penipuan bagi tahun ini membabitkan kerugian RM132,390.80.

“Semua suspek ditahan reman bermula hari ini hingga 10 Jun ini dan siasatan menyeluruh masih diteruskan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi mengenalpasti pembabitan sindiket ini dalam kes penipuan yang lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini