Tumpuan :
Jenayah

7 suspek direman 7 hari kes juruwang maut ditikam di restoran

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tujuh suspek membabitkan lima lelaki dan dua wanita, direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang juruwang wanita maut ditikam di restoran tempat mangsa bekerja di Cheras, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, berkata kesemua suspek berusia 19 hingga 65 tahun itu direman mulai hari ini hingga 6 Disember.

“Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk mengenal pasti motif pembunuhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang juruwang wanita warga China berusia 49 tahun maut dipercayai ditikam dengan pisau, di restoran tempatnya bekerja di sebuah pusat beli-belah di Cheras, semalam.

Aidil dipetik berkata, hasil pemeriksaan awal menemui antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuh mangsa dalam kejadian dianggarkan berlaku antara jam 3 hingga 4 petang itu.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dengan menaiki ambulans.

Susulan itu, polis menahan tujuh suspek terdiri daripada rakan sekerja mangsa, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini