comscore
Tumpuan :
Jenayah

8 individu menyamar pekerja penyelenggaraan curi kabel 300 meter

FOTO: NSTP

IPOH: Sekumpulan lapan individu menyamar dengan memakai vest pekerja penyelenggaraan untuk mencuri kabel talian milik sebuah syarikat telekomunikasi sepanjang kira-kira 300 meter di Jalan Keliling, Taman Canning, di sini awal pagi semalam.

Mereka bagaimanapun ditahan polis dalam tempoh 24 jam.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, lapan lelaki terbabit berusia 18 hingga 36 tahun ditahan jam 3.30 pagi di Kampung Bharu, di sini.

Katanya, polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang penduduk mengenai kes kecurian kabel, dipercayai bagi mendapatkan tembaga di dalamnya.

“Kumpulan lelaki berkenaan menggunakan sebuah pacuan empat roda didapati membuka ‘manhole’ (lurang) di atas jalan sambil menarik kabel, kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

“Pengadu, lelaki berusia 31 tahun terus menghubungi polis. Apabila suspek menyedari kehadiran pengadu, mereka terus melarikan diri menggunakan dua lagi kereta Perodua Axia warna biru.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh membuat intipan lalu berjaya menangkap tujuh suspek sekitar jam 3.30 pagi tadi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, tujuh daripada suspek didapati mempunyai rekod jenayah serta dadah dan siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Polis turut berjaya merampas barang kes berupa beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel termasuk vest yang dipakai serta pacuan empat roda yang digunakan ketika kejadian,” katanya.

Datuk Azizi tidak menolak kemungkinan pembabitan orang dalam dalam kegiatan curi kabel talian komunikasi, selain melihat jenayah itu dilakukan oleh mereka yang boleh dikatakan profesional dalam kegiatan berkenaan.

“Ini bukan sebarang kes curi yang boleh kita sabitkan dengan kecurian-kecurian kecil yang kita syaki dilakukan mereka yang kerap mencuri seperti penagih dadah. Ini bukan kerja penagih dadah, ini kerja mereka yang profesional,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Azizi berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu, Polis Perak membuka 247 kertas siasatan kejadian kecurian kabel syarikat telekomunikasi, selain menahan 287 suspek.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini