
KUCHING: Seramai lapan rakyat Sarawak menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di luar negara sehingga dipaksa untuk menjadi ‘Scammer’ di Myanmar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sebanyak tiga laporan diterima Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Sarawak mengenai perkara itu melibatkan mangsa berusia antara 25 hingga 35 tahun.
Katanya, laporan pertama diterima pada 21 September lalu melibatkan tiga lelaki dari Tanjung Manis manakala laporan kedua pada 22 September melibatkan seorang mangsa dari Julau.
“Laporan ketiga dari Daerah Sibu melibatkan 5 lelaki dengan kesemua mangsa mendapat tawaran pekerjaan melalui aplikasi media sosial Facebook untuk bekerja di Thailand.
“Kesemua mnagsa ini telah ditawarkan gaji sekitar RM3,000 sehingga RM6,000 seorang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini.
Beliau berkata, ketika menerima tawaran berkenaan, kesemua mangsa tidak mengetahui jenis kerja yang akan mereka lakukan.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua mangsa diterbangkan ke Thailand terlebih dahulu sebelum dibawa terus ke Myanmar dan dipaksa menjadi Scammer oleh sindiket terbabit.
“Sepanjang berada dalam pegangan sindiket, mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan ahli keluarga mereka dan hanya berbuat demikian secara rahsia.
“Mangsa juga akan didera dan diugut akan dijual kepada ejen lain jika mereka tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh sindiket terbabit,” katanya.
Mohd Azman berkata, kes berkenaan sudah dirujuk kepada Cawangan D3 Atipsom PDRM dan kes itu turut disalurkan kepada Interpol, Aseanapol bagi membantu mengesan seterusnya menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat.
Katanya, pemakluman kepada Konsulat dan Kementerian Luar Negeri turut dibuat bagi membantu untuk mempercepatkan proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang kesemua mangsa terbabit.
“Siasatan juga akan dijalankan dibawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670).
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.
| ARTIKEL BERKAITAN