comscore
Tumpuan :
Jenayah

8 warga tempatan disyaki suspek militan Daesh ditahan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman menahan lapan warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan, radikalisme dan militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh atau IS.

Dalam sidang media di sini hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua suspek terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita itu ditahan dalam operasi serentak di empat negeri iaitu Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Menurutnya, serbuan dilakukan pada kelmarin dan semalam, susulan operasi 15, 17 dan 30 Mei lalu serta ditahan berpandukan Bab VIA – Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan [Akta 574] dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747].

“Siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kesemua suspek turut mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi PDRM,” katanya.

Jelasnya, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi suspek yang berumur di antara 25 hingga 70 tahun seperti penganggur, suri rumah, pekerja binaan dan golongan profesional.

Saifuddin mengesahkan, suspek berusia 70 tahun adalah pesara yang merupakan bekas pensyarah universiti.

Ditanya sama ada kesemua suspek mempunyai talian persaudaraan, ujarnya, persamaan mereka adalah memegang ideologi yang sama.

“Ia satu idealisme, satu pegangan dan kepercayaan, ia bertolak dari satu keyakinan bahawa kepimpinan negara ini tidak berteras kepada sistem khalifah misalnya.

“Apabila keadaan itu tidak wujud maka wajarkan tindakan untuk memerangi pemerintah. Itu antara sebahagian tanda-tanda pegangan kumpulan ini,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baharu yang dikesan menyalahgunakan perkembangan teknologi moden serta menjadikan media sosial sebagai antara medium menyebarkan fahaman yang membahayakan.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini.

“Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa masyarakat umum tidak perlu berasa gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

Hal ini didorong oleh kecekapan dan ketangkasan PDRM menangkis ancaman ekstremisme, radikalisme dan keganasan di peringkat awal yang menjadi manifestasi kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dalam mendepani sebarang ancaman pada setiap masa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini